FB Sabasun Official


FB Kami Sayang Sabasun


Statistik Pelawat

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterHari Ini244
mod_vvisit_counterSemalam270
mod_vvisit_counterMinggu Ini1065
mod_vvisit_counterMinggu Lepas2399
mod_vvisit_counterBulan Ini10421
mod_vvisit_counterBulan Lepas8131
mod_vvisit_counterKeseluruhan2339455
Boikot Barangan israel, Amerika & Sekutunya



Assalamualaikum WBT kepada para pelanggan dan pengguna yang budiman

Kenapa Perlu BOIKOT??

Nabi Bersabda “Apabila kamu melihat kemungkaran, hendaklah kamu cegah dengan tangan, jika tak mampu, dengan lidah; jika tak mampu juga dengan hati, maka itu adalah selemah-lemah iman.” – Riwayat Muslim.

Setiap ringgit yang kita belanjakan untuk membeli produk keluaran Amerika (Coca Cola, Pepsi, Johnson & Johnson, Levi’s, Nike, Reebok, Exxon Mobil, Caltex , Mc Donald, KFC, Burger King, Chevrolet, Ford dan banyak lagi) akan secara langsung atau tidak bakal menyumbang kepada kekukuhan ekonominya. Dengan kekukuhan ekonomi mereka dapat mencipta lebih banyak senjata pembunuh dan pemusnah untuk memusnahkan dunia ini dan manusia keseluruhannya, terutamanya umat Islam di Palestin, Iraq, Afghanistan dan Pakistan.

Justeru itu, sebagai PENGGUNA, kita mampu memainkan peranan untuk merubah keadaan. Kalau tak mampu boikot semua, bermulalah dengan beberapa item yang kita mampu dulu. Sekiranya sebelum ini anda menggunakan 10 jenis produk yang tersenarai dalam senarai boikot, dengan mengurangkannya kepada 5 item sebenarnya telah mengurangkan 50% kebergantungan kita terhadap mereka. Kita sebagai insan yang lemah hanya mampu mencari ikhtiar dan berusaha, Allah SWT yang Maha menentukan segalanya.

Bagi rakyat Malaysia yang merdeka, in sya Allah kita masih mampu untuk merubah keadaan dengan tangan dan lidah. Oleh itu sebagai pengguna, kita masih mampu berbuat sesuatu dengan kuasa beli yang ada . Kita juga mampu menggunakan lisan untuk memberi penerangan dan pendidikan kepada orang lain. (“Evil will prevail when GooD MeN do Nothing!") Jumlah Umat Islam di seluruh dunia melebihi 1.7 bilion. Jika usaha ini digabungkan, sudah tentu akan mendatangkan impak yang sangat besar. Pada tahun 2005 sebuah NGO antarabangsa yang bernama BDS (Boycott, Divestment & Sanction) telah ditubuhkan untuk mengajak institusi keagamaan, syarikat perniagaan, para pelabur, ahli akademik, artis dan sebagainya bagi menzahirkan penentangan mereka terhadap kezaliman israel melalui cara Boikot. Mutakhir ini, suara BDS telah mula mendapat perhatian dari golongan seperti yang dinyatakan di atas; bagi memboikot israel dari sudut produk, syarikat perniagaan yang menyokong mereka, kebudayaan dan akedemik. (www.bdsmovement.net)

APAKAH MATLAMAT YANG INGIN DICAPAI?

Boikot merupakan kaedah yang paling tidak ganas di dalam menyampaikan MESEJ PENENTANGAN TERHADAP SEBARANG BENTUK KETIDAK ADILAN DAN KEKEJAMAN yang berlaku di atas muka bumi ini.

Bagi negara-negara kapitalis, kekuatan ekonomi merupakan kunci bagi mereka menakluki dunia dan membuat kerosakan melalui jalan peperangan dan perhambaan. Kebanyakan hasil kekayaan yang mereka perolehi semenjak dahulu datang dari hasil rompakan yang mereka lakukan terhadap negara-negara Umat Islam yang mereka jajah. Pada hari ini, ekonomi mereka disokong oleh sebahagian besar pengguna di dunia melalui pembelian produk-produk keluaran mereka.

Walaubagaimanapun, pada tahun-tahun kebelakangan ini dunia dapat menyaksikan kejatuhan ekonomi yang terburuk dalam sejarah yang sedang berlaku di Amerika dan Eropah. Ini diharapkan dapat merencatkan keegoan mereka dari terus membuli negara-negara kecil atau lemah; serta mencipta lebih banyak pembunuhan dan kemusnahan. Ini adalah kesempatan terbaik yang perlu digunakan untuk memberi tekanan serta menyampaikan mesej yang jelas kepada kerajaan Amerika serta syarikat-syarikat perniagaan yang terlibat supaya berhenti dari terus menyokong keganasan israel secara membuta tuli. Begitu juga dengan syarikat-syarikat yang melabur di israel supaya berhenti berbuat demikian.

Aktiviti pemboikotan juga membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk memberi sokongan penuh kepada produk tempatan; dan di dalam masa yang sama membebaskan diri dari kebergantungan hidup terhadap produk import. Menyokong produk tempatan menjadikan Malaysia lebih berdikari (self sustained) serta mengukuhkan ekonomi negara untuk jangkamasa panjang.


ADAKAH CARA INI EFEKTIF?

Aktiviti pemulauan barangan pernah dilakukan oleh sebahagian masyarakat dunia ke atas regim kulit putih Apartheid di Afrika Selatan yang menindas kaum kulit hitam berabad lamanya. Hasilnya, ekonomi regim terpukul dan seterusnya melemahkan mereka yang akhirnya terpaksa menyerahkan kembali negara tersebut kepada penduduk asal. Nelson Mandela, pemimpin kulit hitam yang dipenjarakan oleh tentera regim berbelas tahun lamanya akhirnya dibebaskan. Nelson Mandela pernah berkata, “Our freedom is incomplete without the freedom of Palestinians!”.


KAEDAH BOIKOT YANG SABASUN GUNAKAN

  1. BOIKOT SEPENUHNYA-Keputusan Boikot sepenuhnya diambil serta merta ke atas produk yang telah dipastikan tidak mempunyai menafaat kesihatan seperti Coca Cola, Pepsi, Wrigleys, dll. walaupun jualannya laris.
  2. BOIKOT SEBAHAGIAN- Strategi Boikot Sebahagian terpaksa dilakukan apabila ianya melibatkan produk yang sensitif kepada pengguna seperti susu tepung bayi, makanan suplemen, di mana sesetengah pengguna tidak boleh sembarangan bertukar jenama kerana masalah alahan. Ada kes yang melibatkan kebergantungan terlalu ramai orang terhadap sesuatu jenama seperti Milo. Walaubagaimanapun, matlamat jangka panjang boikot sebahagian adalah untuk mencari ruang dan peluang bagi memboikot sepenuhnya sehinggalah syarikat terbabit mendengar tuntutan dari masyarakat antarabangsa.

 

Contoh (Kes 1)

Produk Johnson & Johnson mula diboikot pada tahun 2006 yang lalu. Proses pemboikotan terpaksa dilakukan secara berperingkat memandangkan penggunaannya yang meluas di kalangan rakyat Malaysia berdasarkan kepada faktor sejarah kepenggunaan. Jenama ini sudah lebih 60 tahun bertapak di negara kita. Strategi yang digunakan ialah dengan memboikot 100 jenis barangan daripada jumlah keseluruhan 126 jenis. Hanya beberapa jenis (di mana pengguna sudah turun temurun menggunakannya) seperti bedak bayi yang masih dijual (pada waktu itu). Dengan perkembangan produk alternatif tempatan yang ditawarkan berserta dengan sokongan pelanggan, jualan produk ini semakin berkurangan dari sehari ke sehari lalu dapat diboikot sepenuhnya pada bulan Januari 2009. Pengguna yang berbelanja di Sabasun mula selesa memilih bedak bayi jenama tempatan seperti Anakku, Fiffy, OK Baby, Carrie, Do Re Mi dan pelbagai jenis lagi.

 

Contoh (Kes 2)

Kraft Food / Mondalez Int. adalah syarikat penyokong Zionis yang mengeluarkan jenama seperti Cadbury, Keju, Biskut Jacob, Chipsmore, Tiger, makanan ringan Twisties, Cheezels, dll. Memandangkan Cadbury dan Jacob merupakan jenama yang telah lama diguna pakai; pada peringkat awal kami menggunakan strategi yang sama (Boikot Sebahagian) dan Cadbury berjaya diboikot sepenuhnya pada Januari 2013 (sebelum isu DNA khinzir tersebar). Manakala produk biskut Jacob, Chipsmore dan Tiger pula berjaya diboikot sepenuhnya baru-baru ini. Tiada lagi produk keluaran Mondalez yang dijual di Sabasun.

 

NESTLE, MILO DAN …

Syarikat Nestle telah ditubuhkan di Switzerland pada tahun 1866. Ianya diasaskan oleh Henri Nestle dan mula bertapak di negara kita semenjak lebih 100 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 1912. Ini bermakna sudah lebih seratus tahun kita bergantung hidup kepada produk ini bermula dari zaman datuk moyang kita lagi. Produk yang mula-mula dikeluarkan oleh syarikat mereka ialah susu tepung dan susu pekat (Nespray, Lactogen, susu Cap Junjung, dll).

Pengalaman kita sendiri tentang Milo bermula semenjak kita sekolah rendah lagi. Setiap kali acara sukan sekolah, pasti “canteen van” Milo tidak akan ketinggalan turut serta melakukan aktiviti pemberian sampel minuman Milo sejuk percuma kepada pelajar-pelajar sekolah termasuklah guru-guru dan kakitangan pendidikan di seluruh negara. Jenama itu telah ditanam ke dalam benak minda rakyat Malaysia dalam jangkamasa yang sangat lama. Kesannya, menurut data dari Nestle sendiri, rakyat Malaysia adalah pengguna Milo yang tertinggi di dunia mengalahkan Australia dan England. Ditambah pula dengan penguasaan ruangan iklan di media elektronik pada waktu puncak, papantanda-papantanda awam, serta hampir semua akhbar harian dan media cetak yang popular; sudah tentu memberi kesan tarikan serta pengaruh yang lebih kuat kepada pengguna (walaubagaimanapun, strategi mereka yang hebat dan istiqomah itu wajar kita contohi). Milo adalah minuman bercoklat, tetapi disebabkan jenama itu sudah sebati di dalam jiwa rakyat Malaysia, segala jenis minuman bercoklat adalah Milo!

Jenama Maggi pula menjadi sangat popular pada era 70-an apabila Nestle mengiklankan mi segera mereka secara besar-besaran. Sehingga skrip “cepat dimasak sedap dimakan” menjadi mentera kepada hampir setiap orang pada masa itu. Bermula dari era itu, segala jenis mi segera orang Malaysia panggil Maggi!

Nescafe pula merupakan jenama kopi segera pertama yang dikenali oleh rakyat Malaysia. Sebelum adanya produk kopi tempatan yang banyak pada hari ini (Kopi Radix, Jantan, dsb). Nescafe memonopoli hampir keseluruhan pasaran peminum kopi segera di Malaysia semenjak 50 tahun dahulu. Alhamdulillah, semenjak pengusaha tempatan mula berani bersaing di dalam bidang pembuatan kopi segera, jualan Nescafe telah terjejas dan kuasa monopoli mereka dalam kategori tersebut semakin berkurang.

Nestle merupakan pembekal dalam industry peruncitan yang mempunyai tawaran produk terbanyak iaitu berjumlah lebih dari 500 jenis barangan.

Di antara usaha dan strategi yang dilakukan oleh Sabasun bagi menangani kes Nestle:

  1. Telah memboikot 340 jenis barang dari Jumlah 500.

  2. Memboikot keseluruhan produk sejuk seperti yogurt dan minuman segera.

  3. Memboikot keseluruhan jenama aiskrim Nestle.

  4. Memboikot keseluruhan jenama coklat Nestle (Kit Kat, Fox, Smarties, dsb)

  5. Memboikot semua jenis minuman dalam Tin.

  6. Tidak mengambil bahagian di dalam sebarang aktiviti promosi atau sampel kepada pelanggan.

  7. Menghadkan ruang jualan. Ruang jualan yang strategik diutamakan kepada produk tempatan.

  8. Tidak terlibat dalam sebarang bentuk pengiklanan.

  9. Tidak dihidangkan di restoran-restoran yang dikendalikan Sabasun.

  10. Menghantar surat rasmi kepada CEO Nestle di Vevey, Switzerland bagi menyatakan tindakan yang telah diambil dan isu yang perlu ditangani.


KESIMPULAN

Justeru dari kesan Psaikologi kepenggunaan yang amat berat yang ditanggung oleh pengguna di negara kita semenjak seabad yang lalu akibat dari strategi pengeluar produk di atas, sudah tentu usaha boikot ini memerlukan masa, tenaga, kewangan serta fokus yang berterusan (di dalam keadaan serba keterbatasan dibandingkan dengan mereka) bagi menyakinkan kembali pengguna Malaysia terhadap produk negara sendiri di samping memberi maklumat yang berterusan kepada pengguna tentang kesannya terhadap konflik Palestine-israel.

Sepanjang tempoh lebih 66 tahun menjajah Palestin, israel telah melanggar undang-undang antarabangsa, tidak ambil peduli terhadap lebih 240 amaran yang dikeluarkan oleh PBB, mencabuli konvensyen Geneva ke-4 berkenaan dengan undang-undang peperangan serta banyak lagi. Justeru itu masyarakat dunia perlu bangkit bersuara menentang kekejaman dan ketidakadilan ini. Kita tidak mengharapkan Syarikat Nestle bankrap atau pekerjanya kehilangan kerja hasil dari aktiviti boikot ini, tetapi lebih kepada memberi mesej dan kesedaran kepada pelabur-pelabur dalam syarikat Nestle bahawa ‘matlamat tidak menghalalkan cara’.

Walaupun pihak Nestle mendakwa mereka hanya berniaga dengan pihak israel, tidak lebih dari itu; tetapi bayangkan, tergamakkah mereka berniaga dengan sekumpulan pembunuh, perompak, penipu yang kejam? Semuga mereka dapat merenung mesej yang kita cuba sampaikan.

Perjalanan 1000 batu bermula dengan langkah yang pertama. Ianya mestilah bermula dari setiap individu yang sedar akan kepentingan membebaskan bumi Palestin dari cengkaman Zionis. Pihak kami sama sekali tidak akan mampu untuk merealisasikan perjuangan ini tanpa sokongan daripada setiap individu yang mempunyai kesedaran. Tanpa sokongan padu serta kefahaman dari pengguna, pihak kami peruncit tidak mempunyai kuasa apa-apa untuk memaksa pengguna.

Kuasa mutlak terletak di tangan PENGGUNA! Andalah yang menentukannya!



CARI ALTERNATIF

Mutakhir ini, produk minuman bercoklat keluaran tempatan seperti Mibeco, Vico, Oligo, Smart Coco, Koko Minda, Promex dan bermacam lagi telah mula berjaya menembusi pasaran kerana kualiti produk yang semakin setanding dengan Milo. Walaupun jualannya masih rendah jika dibandingkan dengan Milo, ianya merupakan satu permulaan yang baik bagi rakyat Malaysia membuat perubahan. Begitu juga dengan mi segera; jenama tempatan seperti Mamee, Rusky, Adabi, Cintan, Sajimee, Super dsb., sudah menjadi tidak asing lagi bagi kebanyakan pengguna tempatan.


CETUSAN UNTUK PENYELESAIAN JANGKA MASA PANJANG

Sepatutnya dengan hasil sumber alam negara yang tidak terbatas diiringi dengan ribuan graduan yang dilahirkan setiap tahun, kita sepatutnya menjadi negara gergasi pengeluar, bukan hanya menjadi negara konsumer semata-mata. Mungkin kementerian-kementerian yang sepatutnya bertanggungjawab ingin mengambil langkah mudah tanpa usaha keras, jalannya ialah dengan mengimport kebanyakan produk kegunaan harian. Bahkan makanan utama kita beras juga bergantung kepada import. Dimanakah kedaulatan sebuah negara apabila segala keperluan makanannya dikawal oleh orang lain?

Bagi J-CORP pula sebagai sebuah konglomerat tempatan yang berpengalaman serta mempunyai modal yang besar sepatutnya sudah mampu menubuhkan rangkaian restoran ayam gorengnya sendiri JFC (misalnya), yang boleh dibanggakan dan diyakini oleh rakyat Malaysia; selain dari hanya memegang lesen Franchise “import” KFC (Kentucky Fried Chicken) milik YUM! Brands yang berpengkalan di Louseville, Kentucky USA. J-CORP boleh menggabungkan kepakaran dengan mengajak IPTA membuat kajiselidik yang lebih mendalam bagi mengembangkan restoran JFC ke tahap piawaian antarabangsa dari segi penyediaan dan pengurusannya. Begitulah juga dengan bidang-bidang dan produk-produk lain. Perlukah lagi kita bergantung kepada orang lain untuk selamanya?

Mohon maaf di atas sebarang kekhilafan di dalam tulisan ini. Saya tak dapat lari dari membuat kesilapan sebagai insan. Wassalam.


CHE SALMI BIN CHE IBRAHIM

PENGARAH URUSAN,
SABASUN HYPErRUNCIT SDN. BHD.

 


Copyright © 2010 Sabasun HyperRuncit Sdn. Bhd